Pages

Friday 20 June 2014

Soleh atau Solehah

0 comments

- SOLEH atau SOLEHAH-
" Menjadi soleh atau solehah tidak semestinya memerlukan keluarga atau ibu bapa yang soleh juga. Yang penting itu kefahaman, kesedaran dan kemahuan untuk menjadi soleh dan solehah itu dalam diri. Hentikan seribu alasan, mulakan suatu penghijrahan.. " - Quotes.


Penambahan Ilmu,  
Untuk mengekalkan penghijrahan itu amat perlu duduk di dalam suasana yang membina (biah yang baik). Jika tidak, penghijrahan berlaku hanya sementara. Istiqamah tiada. Dalam jangka masa yang panjang ia bisa memusnahkan semangat dan penghijrahan itu.

Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati? 

Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.

Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: 


"Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)


Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta. 

Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri. 

Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri. 


" Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih)." (Surah al-Zukhruf: 67)

Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat. 


"Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)


Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.


Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk." 


Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.

Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.

Berubah itu tidak lah susah, untuk terus kekal di dalam perubahan yang baik itu lebih besar dugaannya.

" Disebalik kepayahan disitu ada imbalan dan ganjaran dariNya 
bagi orang yang berSABAR dan berSUNGGUH-SUNGGUH. "

#Allahummasollialamuhammad
#JumuahMubarakah

[20/6/2014] 
4.33 pm
PTSL,UKM


Credited to : Portal Mukmin

Wednesday 14 May 2014

3 Peringkat Seorang Hamba Allah s.w.t

0 comments


- HAMBA ALLAH -



Menurut pengamatan sendiri, terdapat 3 peringkat manusia sebagai hamba Allah s.w.t dan khalifahNya di muka bumi ini dapat disimpulkan dan dihuraikan. Bermula daripada diri sendiri, terhadap orang sekeliling/masyarakat, dan negara :

1. Hamba yang melaksanakan amar ma'aruf dan nahi mungkar dalam diri dia. Ya, inilah hamba yang dikehendaki dan dituntut dalam Islam. 

Allah swt juga menegaskan :-

إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Ertinya : Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Surah Yusuf : 53)

Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera. Kerana itu Allah swt mengingatkan :-

وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Ertinya : Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah Syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang amat jelas ( Al-Baqarah : 168 )

Berdasarkan Hadis Baginda,

Rasulullah SAW bersabda: “ Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (Riwayat Al Baihaqi)

Kerana kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya: 
“Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” 
(Surah Al Jasiyah: 23)

Tambahan lagi, Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah, Tuhan yang sebenarnya tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudah dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar. Ingatlah sabda Rasulullah SAW pada Sahabat-Sahabat ketika baginda berangkat pulang dari satu medan peperangan: “Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang besar.” Bila para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu?” Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)

Untuk lebih jelas, disenaraikan peringkat-peringkat nafsu manusia. Sepertimana iman itu sendiri berperingkat-peringkat, begitu juga nafsu. Seseorang yang dapat mengalahkan nafsunya akan meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik. Begitulah seterusnya sehingga nafsu manusia itu benar-benar dapat ditundukkan kepada perintah Allah.

Berikut ialah peringkat-peringkat nafsu yang saya senaraikan mengikut aturan tingkatannya:

i. Nafsu ammarah

ii. Nafsu lawwamah

iii. Nafsu mulhamah

iv. Nafsu mutmainnah

v. Nafsu radhiah

vi. Nafsu mardhiah

vii. Nafsu kamilah

Orang yang imannya di taraf iman ilmu, nafsunya berada di taraf yang kedua iaitu nafsu lawwamah. Kita mesti berjuang melawan nafsu itu hingga ia mahu tunduk sepenuhnya pada perintah Allah iaitu paling minima, nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah ada pada orang yang memiliki iman ayan. Di peringkat inilah sahaja kita akan dapat menyelamatkan diri daripada seksaan Neraka. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dengan firman-Nya: 

“Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” (Surah Al Fajr: 27-30)

2. Hamba Allah yang mengajak orang lain pula melakukan amar ma'aruf dan nahi mungkar terhadap keluarga, saudara mara, jiran dan masyarakat. ya! peringkat kehambaannya semakin meningkat dan semakin besar juga dugaannya.

Tanggungjawab setiap Muslim dalam melaksanakan kewajipan ini.
Firman Allah yang bermaksud:

" Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." - [Surah Ali-Imran : 104]

3. Hamba Allah yang punya kuasa untuk melaksanakan tuntutan syariat y utama iaitu amar maaruf nahi mungkar. Dengan ini, maqasid syariat dapat dicapai. Dia punya kuasa untuk menyekat dan membendung segala kemungkaran/kemaksiatan yang bakal masuk ke dalam wilayah pimpinannya. Ya!, inilah peringkat seorang hamba dan juga khalifah yang lebih besar dari peringkat-peringkat sebelumnya. Sudah tentu, ujian dugaan dan cabarannya juga lebih besar dan hebat.

Kewajipan Muslim melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud:

" Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Misi A.M.N.M (Amar Maaruf Nahi Mungkar)
Perlu dilaksanakan dalam pelbagai peringkat.
Tetapi Misi ini akan menjadi lebih mantap jika ia dilaksanakan oleh Hamba Allah yang punya kuasa dan dapat mentadbir muka bumi ini dengan sebaiknya.
Cthnya Sultan Al-Fateh, seorang hamba Allah s.w.t, juga khalifah dan juga seorang yang punya kuasa untuk merealisasikan misinya. Seorang yang berautoriti kuasa penyebarannya lebih besar.

Kekadang kita terbabas di dalam melakukan dosa kecilnya adakalanya melakukan ia
dengan sengaja.
Ada juga yang terus hanyut dalam dosa kecil dan dosa besarnya.
Apakah tindakan kita untuk merubahnya?

Segara beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat.

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدِّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Ertinya : dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertaqwa 
(Surah Ali-Imran )

Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah yang mampu saya senaraikan demi membantu sesiapa sahaja untuk mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk hati dan aqal, seseorang individu akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan sementara. Lupa kepada keburukan kekal yang menanti. Sama-sama kita ingat-mengingati. 

Akhirnya Allah berfirman :-

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا * وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Ertinya : Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya (Al-Shams : 9-10)

Ya!
Misi ini perlu dilaksanakan oleh kita semua, bukannya hanya golongan tertentu sahaja dan ia perlu dilaksanakan secara terus menerus hinggalah matahari terbit dari barat. Sehingga, tiada lagi ruang dan peluang kita semua untuk merubahnya.
Benar, Mujahadah itulah tunjang untuk menjadi benteng kekuatan diri dan mengekang diri dari segala perkara yang cuba memusnahkannya.

Monday 28 April 2014

Sains Tempang Tanpa Agama

0 comments

Assalamualaikum, setelah sekian lama tidak mencoretkan sesuatu di laman ini. Akhirnya, dapat juga melayangkan jari jemari ini untuk membuat perkongsian kepada pembaca dan blogger semua. Sedikit sebanyak perkongsian ilmu yang diperoleh dalam 
Forum : "Sains tempang tanpa Agama".

Persoalan : Apakah konsep sebenar kaitan di antara sains dan agama bertentangan atau pun seiringan?

Prof Madya Arif Kasmo (UKM) menjawab:
1. Bila kita membaca al-Quran, perlu difahami apa yang dibaca.
2. Tema akidah paling banyak disebut dalam al-Quran.
3. Penceritaan mengenai alam lebih 750 ayat berkaitan alam.
4. Manakala penceritaan mengenai hukum hakam kurang dari 150 ayat.
5. Allah s.w.t mengajak manusia untuk mengkaji alam/berfikir/melihat. Berdasarkan keterangan maksud di dalam surah al-Mulk. Banyak perkara tertulis di dalamnya.

6. Berdasarkan surah al-Fussilat ayat : 53. 
Maksudnya : " Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? " 

Menceritakan tentang ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t) yang terdapat di atas muka bumi ini dan juga dalam diri kita sendiri. 

7. Terdapat saintis dari Toronto University dan Texas Republis (maaf nama x ingat)
pada awalnya di dalam research mereka, mereka hanya membaca terjemahan al-Quran sahaja untuk mengkaji isikandungan al-Quran. Hendak dijadikan cerita, walaupun hanya 1/3 dari kandungan al-Quran itu telah dibacanya, dia telah terjumpa ayat yang menceritakan mengenai Fenomena Alam seperti mana yang dia ketahui melalui kaedah bidangnya itu. Oleh kerana itu, dia telah memeluk Islam kerana merasakan bahawa ayat al-Quran itu amazing!.

8. Kisah saintis yang lain pula, dia seorang pengkaji molecules + DNA, tetapi dia seorang atheis (x mempercayai Tuhan/kewujudan tuhan). Tetapi, dengan kuasa Allah s.w.t. Akhirnya dirinya berfikir sendiri, setiap ciptaan itu punyai DNA tersendiri, tetapi siapakah yang mencipta DNA yang pertama itu? Dengan itu, dia mempercayai suatu kuasa yang lain iaitu creator. Namun, keyakinannya hanya sampai kepada konsep Rububiyyah bukannya Uluhiyyah. Kerana dia x merujuk al-Quran, tetapi hanya berpandukan kepada akalnya semata.

9. Apabila kita menyebut صدق الله العظيم, kata-kata ini bukan disebut di lidah semata. Tetapi, kita perlu menyebutnya dengan merasai bahawa ayat-ayat al-Quran yang dibaca itu adalah kebenaran/kata-kata yang benar dariNya. (Dengan Kata lain iaitu kita membenarkan segala FirmanNya itu yang mengandungi unsur targhib wa tarhib iaitu ancaman dan suruhan).

10. Teguran Allah terhadap orang yang kufur. Surah al-baqarah ayat 28.
" Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan). "


Penerangan yang diberikan oleh Prof Madya Mat Rofa (UPM) :
1. Saintis cuma temui, bukannya buat. Manusia cuma mencari, ilmu itu Allah yang punya. 

2. Saintis dan ilmu diibaratkan seperti kereta dan pemandu.
Pada asalnya kereta itu tidak salah, tetapi jika pemandu itu memandu laju kereta itu maka pemandu itu yang salah. Begitu juga dengan saintis dan ilmu, pada asalnya ilmu itu baik. Tetapi jika, penuntut ilmu/saintis itu membawa ilmu yang dimiliki itu ke jalan/cara yang salah. Maka saintis itu yang salah. 

Sains tanpa agama, ia menjadi tempang. Jika memisahkan sesuatu itu dari agama, maka ia menjad tidak baik.

3. Berdasarkan surah al-anbiya' ayat 30. 
" Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? "

Allah s.w.t telah menunjukkan kekuatan dan kehebatannya, bagaiman sesuatu yang bersatu padu itu (langit dan bumi) itu menjadi terpisah. Dan ingatlah, kita semua (semua ciptaan) asasnya daripada air. Cuma berbeza composisi, ada yang majoriti dan minoriti composisinya.

4. Ibnu Haitam merupakan tokoh Saintis Islam yang membuat kajian mengenai optik/lasik. Kamera juga merupakan ciptaannya. Teleskop juga dicipta olehnya, dan juga cermin mata. 

5. Berdasarkan surah an-nur mengenai cahaya, ibnu haitam telah mengkaji tentang cahaya. Hakikat cahaya itu bergerak lurus, Tetapi Einstein tidak pernah mengatakannya. 

Sunnatullah itu ialah laws of God bukannya Laws of Nature seperti yang diajarkan dalam silibus-silibus yang ada.

6. Al khawarizimi - Tokoh algebra, dia telah tertarik dengan ayat al-Quran yang menceritakan mengenai faraidh (ilmu pewarisan harta). Malah, dia juga begitu meminati nombor, dia telah mencipta formula Persamaan Quadratik. Sejarah pembentukan formula itu, dia telah melihat Kaabah yang mempunyai bentuk yang sama dari sudut X, Y, Z dengan itu dia telah membentuk  suatu unit iaitu X3 (X kuasa 3) asalnya formula ini dinamakan كعب kerana sejarah pembentukan berpandukan Kaabah. Akan tetapi, unit ini telah bertukar nama bila sampai ke tangan orientalis iaitu Cubo/Cube.

* Terfikir, seronoknya belajar sejarah nama-nama formula-formula yang dihasilkan oleh saintis ni. 

7. Bagi orang Barat, sains itu hanyalah sesuatu yang dapat dilihat, diambil, dipegang.
Selain daripada itu tidak dinamakan sains. Tetapi, hakikatnya sains itu berbentuk qualitative dan quantitative. 

8. Sains itu alat yang membawa kepada agama, ia terdapat di dalam al-Quran.
Quran itu bukan buku sains, tetapi bila kita mengkaji al-Quran, sains akan dijumpai.


Persoalan : Jika sains dipisahkan dengan agama, apa yang berlaku?

Ustz Nik Bakri Nik Mat (Wakil JAKIM) menjawab :

1. Berdasarkan FirmanNya, surah al-Baqarah ayat 164.
" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfa`at kepada manusia demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang, demikian juga (pada) peredharan angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan ke esaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. "

Sains dan agama itu tidak terpisah dan tidak boleh dipisahkan.

* Moga mendapat manfaat sedikit sebanyak, syirik dan kufur jika memisahkan sains dengan Tuhan. Hiduplah bersama Allah, Allah akan sentiasa bersama kita. Jadilah golongan Ulul albab, siapakah mereka? Golongan ini adalah orang-orang yang selalu berzikir dan berfikir kepadaNya. Mengingati Allah dengan makna bersifat ehsan (meyakini Allah sentiasa melihat dan mengetahui apa yang kita lakukan) dalam setiap perlakuan. Dan juga, berfikir. Sentiasa tadabbur, tafakkur, ta'qilun, tubsirun (mengkaji, memahami, mendalami menghayati ilmu-ilmunya dan segala ciptaanNya dan menyakini kehebatan dan kekuasaanNya. 

Science is everywhere around us From an early age, 
we interact with our environment, 
asking questions and seeking answers.

Semakin kita banyak berfikir,
Semakin banyak yang akan kita sedar akan keagunganNya,
Semakin dekat diri kita denganNya,
Semakin cinta kita kepadaNya.
Kerana kita sentiasa cuba mengenali, dan memahamiNya.

:)

[22/4/14: 9 PM. Dewan Anuar Mahmud, FST.]


- Aku Kembara Ilmu -

Tuesday 18 February 2014

Asabiyyah

0 comments

- Asabiyyah menurut perspektif Fikrah Islam -

Bismillahirrahmanirrahim, pembuka bicara untuk perkongsian ilmu bersama.
Hasil pembacaan daripada buku yang bertajuk 'Wacana Nasionalisme Melayu dan Islam di Malaysia.' Pengarang oleh Kamaruddin Salleh dan Prof Zakaria Stapa, 2008.

Kupasan perkongsian ini di bawah bab : Nasionalisme, Asabiyyah dan Cinta Negara (Hubb al-Watan). 

Pengertian asabiyyah dari pelbagai pandangan ilmuan dan cendekiawan :

'Abd al-Raziq al-Makki (al-fikr al-falsafi 'inda Ibnu Khaldun) :
asabiyyah erat pertautannya dengan 'asab yang bererti hubungan dan 'isabah yang bererti ikatan. Pada asalnya, asabiyyah bererti ikatan mental yang menghubungkan orang-orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan. 

Menurut al-Qamus al-Jadid
asabiyyah ialah satu ikatan dan hubungan yang kukuh di antara seorang dengan keturunannya atau kumpulannya serta bersungguh-sungguh menolong mereka. Dalam pentakrifan ini asabiyyah ialah perasaan taksub seseorang terhadap dasar dan prinsip yang didukung oleh kumpulannya. 

Dalam kamus Lisan al-Arab :
Asabiyyah ialah kata nama dari perkataan ta'asub, ta'assubat yang berpunca daripada perkataan al-'asab yang bererti tidak menerima kebenaran ketika telah nyata dalil atau keterangan disebabkan oleh cenderung kepada sesuatu pihak. Akar kata 'asab ('asb) boleh memberi erti menambat dan memintal sesuatu hingga kukuh dan kuat. Terdapat beberapa pengertian yang lain yang disandarkan kepada asabiyyah seperti keluarga dari sebelah bapa, sikap taksub atau fanatik dan gangguan saraf yang boleh menimbulkan perasaan marah.

Salahuddin al-Ayubi (al-Islam wa al-Tamyiz al-'Unsuri) :
asabiyyah dari segi istilah ialah menolong kaum atau kumpulan sendiri tanpa mengira sama ada kaumnya itu berada di pihak yang benar atau sebaliknya, atau lebih tepat ialah menolong kumpulannya sendiri yang berada di dalam kezaliman.

Untuk meneliti isu ini secara lebih adil perspektif fikrah Islam yang dibentangkan sabda Rasulullah s.a.w tentang makna asal asabiyyah. 

Rasulullah s.a.w bersabda : "Barangsiapa terbunuh di bawah bendera kesombongan (atau kesesatan) dia menyeru kepada asabiyyah atau mempertahankan asabiyyah, maka matinya adalah dianggap sebagai mati seorang jahiliah. " 

Di dalam satu hadis lain ada menyebut fahaman asabiyyah. 
" Telah bertanya seorang lelaki, wahai Rasulullah s.a.w adakah asabiyyah itu mencintai kaumnya? Sabda Nabi, tidak. Tetapi asabiyyah itu adalah seorang yang menolong kaumnya di atas kezaliman. "
Hadis seterusnya memperihal lebih lanjut :
" Bukan dari golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asabiyyah dan bukan daripada kami sesiapa yang membunuh (berperang) kerana asabiyyah dan bukan dari kami sesiapa yang mati di atas dasar asabiyyah."

Asabiyyah yang dilarang dalam Islam ialah asabiyyah mendorong kepada kezaliman atau sifat dan sikap terlalu mementingkan golongannya secara membuta tuli tanpa membezakan di antara baik dan buruk antara yang adil dan zalim sama ada tindakan itu terhasil dari seseorang individu mahupun dari satu golongan masyarakat.

Tetapi sekiranya seseorang itu mencintai kaumnya sendiri, khususnya keluarganya tanpa ada sebarang bentuk kezaliman di dalamnya, ia tidak dilarang bahkan boleh dianggap sebagai salah satu fitrah dan naluri semulajadi manusia. 

Sumber : Buku Wacana Nasionalisme Melayu dan Islam di Malaysia, 2008. 
Author :  Kamaruddin Salleh UKM (Usuluddin)
Komentar buku : Prof Dato' Paduka Zakaria Stapa UKM (Usuluddin).


Moga kita semua mendapat ilmu baru mengenai makna asabiyyah menurut fikrah Islam.
Bukanlah semata2x cintakan bangsa/kaum/keluarga. Tetapi menolak kezaliman yang berlaku di atas nama asabiyyah. Asabiyyah tidak salah, tetapi tolong menolong di atas kezaliman itu yang salah. Yang haq itu tetap haq, yang batil itu tetap batil.

اللهم أرنا الحق حقاً وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه
O Allah! Let us see the truth as truth, and bless us with following it. And show us the falsehood as falsehood, and bless us with staying away from it.
Amin ya Rabbal 'alamin. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...