Pages

Wednesday, 23 March 2016

Episod 2 : Grandpa's mistery





Mengapa atuk bermuram? Diam tanpa sebarang bicara?
Isteri atuk, dimanakah dia?


Isteri atuk juga tidak berapa sihat, parkinson katanya. Isteri pertamanya sudah lama meninggal dunia. Tetapi, atuk sudah punya isteri baru malahan Isteri atuk tinggal bersama anak tirinya semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Nak harapkan anak-anak, masing-masing punya kehidupan tersendiri daripada yang atas sampai ke bawah. Jadinya, atuk dan nenek duduk berasingan. Atuk tetap begitu, diam tanpa sebarang kata. Cumanya, ada sekali sekala tersengih bila disapa cucu-cucu lain yang datang menziarahinya. Seperti biasa, tidak banyak berkata-kata. Diamnya tetap menjadi misteri. Terdapat salah seorang cucunya yang prihatin cuba mencungkil misteri diamnya namun masih belum berhasil. Isterinya merupakan orang kaya kampung, jadi anak tiri yang sibuk menjaganya. Manakala atuk tidak berharta cukup apa yang ada. Tiada peninggalan yang dapat diagih-agihkan untuk anak-anak. 

Mungkinkah dek kerana si atuk tidak berharta, anak-anak lain pandang sebelah mata? Manakala si nenek orang yang berharta, si anak tiri sibuk membela? Hmm semuanya hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui. 

Namun, perlu diingati tanggungjawab seorang anak itu terhadap bapanya adalah berbuat baik, memberi kebajikan kepadanya dan mentaatinya selagi mana ia masih hidup dan selamanya ia tetap bapa kita. Meski dia tidak berharta, itu bukan tiket bagi  seorang anak untuk mengabaikannya. Walauapapun alasannya, jenguklah mereka atau kirimkan sedikit wang atau hadiahkan mereka sesuatu, ini akan menggembirakan hati mereka. Bukannya wang yang mereka pinta, tetapi perkhabaran dan keprihatinan anak-anak itu yang membuatkan jiwa mereka bahagia dan rasa dihargai, disayangi. Tanpa redha mereka di dunia ini, tidak ke manalah kita. Ingat! berkaitan ketaatan dengan ibu bapa ni, akibat dan sebarang balasan Allah s.w.t akan bayar cash di dunia lagi, balasan yang Allah s.w.t hadirkan datang dalam pelbagai bentuk dan macam-macam boleh berlaku. Kekadang kita rasa sempit hidup, duit tidak berkat, jiwa resah atau sebagainya. Selagi mana ketaatan kepada mereka tidak menjurus ke arah maksiat dan kemurkaanNya, maka wajib si anak itu taat.  

Islam mengajar kita, agar menghormati ibu bapa, berbuat baik kepada mereka meskipun mereka agama lain. Hatta mereka itu bertukar menjadi haiwan dalam kisah-kisah teladan yang biasa kita dengar. Tanggungjawab seorang anak tidak pernah lepas selagi mana ibu bapa mereka masih bernyawa, hinggalah mereka menutup mata. Tugas sebagai anak masih tidak selesai. Kita perlu mendoakan mereka selalu serta menjadi anak yang soleh dan solehah sebagai permata hati mereka di dunia dan akhirat. (Episod 1)

Hmm.
Cuba kita bayangkan, jika hidup kita dibiarkan oleh anak sendiri.
Sadis sungguh!
Tergamaknya mereka. 


By Minah Sempoi 
12.19 PM, 22 mac 2016

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...