Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya lebih keji daripada iblis.
Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta).
Justeru itu, dosa meninggalkan solat itu amat besar sekali. Di Akhirat nanti seseorang yang meninggalkan solat itu akan dimasukkan ke dalam neraka.
Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud:
Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat.
Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:
Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat.Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan.Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).
Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:
Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).
Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir.
Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:
- Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf. - Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi. Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
- Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.
Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.
Lihat betapa besarnya solat, dan betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat.
Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.
" SEMBAHYANGLAH KAMU SEBELUM KAMU DISEMBAHYANGKAN"
Wallahua'lam..
2 comments:
Assalammualaikum akk..
terima kasih sebab post hukum meninggalkan solat..
waalaikumussalam..
sama2... perkongsian bersama..
utk manfaat bersama..:)
Post a Comment