.... Roh : Mencari Jalan Kembali...
Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali. Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita daripada Tuhan. Jiwa yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan habis dikejar.
Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi.Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan. Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.
Firman Allah s.w.t : "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." - Az-Zumar: 54
Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat kita mencari-Nya. Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya. Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan kita dan lebih menarik hati kita. Maka kita tak jadi kembali. Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya. Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah.
Firman Allah s.w.t : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - Az-Zumar: Ayat 53
Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah? Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi. Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu. Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah.. Kau tidak bertemu kerana kau tidak mencari.
* Insaf!..
Mari kita kongsikannya bersama orang disekeliling kita. Kesedaran, kebaikan dan manfaat dapat dikongsi bersama untuk kebaikan ummah yang penuh pengisian rohaninya. Redha Allah yang dicari, keberkatan dan kerahmatan hidup akan diperolehi..
credit cartoon : Ezuan Saad
sumber artikel : I Luv Islam
No comments:
Post a Comment