- Asabiyyah menurut perspektif Fikrah Islam -
Bismillahirrahmanirrahim, pembuka bicara untuk perkongsian ilmu bersama.
Hasil pembacaan daripada buku yang bertajuk 'Wacana Nasionalisme Melayu dan Islam di Malaysia.' Pengarang oleh Kamaruddin Salleh dan Prof Zakaria Stapa, 2008.
Kupasan perkongsian ini di bawah bab : Nasionalisme, Asabiyyah dan Cinta Negara (Hubb al-Watan).
Pengertian asabiyyah dari pelbagai pandangan ilmuan dan cendekiawan :
'Abd al-Raziq al-Makki (al-fikr al-falsafi 'inda Ibnu Khaldun) :
asabiyyah erat pertautannya dengan 'asab yang bererti hubungan dan 'isabah yang bererti ikatan. Pada asalnya, asabiyyah bererti ikatan mental yang menghubungkan orang-orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan.
Menurut al-Qamus al-Jadid :
asabiyyah ialah satu ikatan dan hubungan yang kukuh di antara seorang dengan keturunannya atau kumpulannya serta bersungguh-sungguh menolong mereka. Dalam pentakrifan ini asabiyyah ialah perasaan taksub seseorang terhadap dasar dan prinsip yang didukung oleh kumpulannya.
Dalam kamus Lisan al-Arab :
Asabiyyah ialah kata nama dari perkataan ta'asub, ta'assubat yang berpunca daripada perkataan al-'asab yang bererti tidak menerima kebenaran ketika telah nyata dalil atau keterangan disebabkan oleh cenderung kepada sesuatu pihak. Akar kata 'asab ('asb) boleh memberi erti menambat dan memintal sesuatu hingga kukuh dan kuat. Terdapat beberapa pengertian yang lain yang disandarkan kepada asabiyyah seperti keluarga dari sebelah bapa, sikap taksub atau fanatik dan gangguan saraf yang boleh menimbulkan perasaan marah.
Salahuddin al-Ayubi (al-Islam wa al-Tamyiz al-'Unsuri) :
asabiyyah dari segi istilah ialah menolong kaum atau kumpulan sendiri tanpa mengira sama ada kaumnya itu berada di pihak yang benar atau sebaliknya, atau lebih tepat ialah menolong kumpulannya sendiri yang berada di dalam kezaliman.
Untuk meneliti isu ini secara lebih adil perspektif fikrah Islam yang dibentangkan sabda Rasulullah s.a.w tentang makna asal asabiyyah.
Rasulullah s.a.w bersabda : "Barangsiapa terbunuh di bawah bendera kesombongan (atau kesesatan) dia menyeru kepada asabiyyah atau mempertahankan asabiyyah, maka matinya adalah dianggap sebagai mati seorang jahiliah. "
" Telah bertanya seorang lelaki, wahai Rasulullah s.a.w adakah asabiyyah itu mencintai kaumnya? Sabda Nabi, tidak. Tetapi asabiyyah itu adalah seorang yang menolong kaumnya di atas kezaliman. "
Hadis seterusnya memperihal lebih lanjut :" Bukan dari golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asabiyyah dan bukan daripada kami sesiapa yang membunuh (berperang) kerana asabiyyah dan bukan dari kami sesiapa yang mati di atas dasar asabiyyah."
Asabiyyah yang dilarang dalam Islam ialah asabiyyah mendorong kepada kezaliman atau sifat dan sikap terlalu mementingkan golongannya secara membuta tuli tanpa membezakan di antara baik dan buruk antara yang adil dan zalim sama ada tindakan itu terhasil dari seseorang individu mahupun dari satu golongan masyarakat.
Tetapi sekiranya seseorang itu mencintai kaumnya sendiri, khususnya keluarganya tanpa ada sebarang bentuk kezaliman di dalamnya, ia tidak dilarang bahkan boleh dianggap sebagai salah satu fitrah dan naluri semulajadi manusia.
Sumber : Buku Wacana Nasionalisme Melayu dan Islam di Malaysia, 2008.
Author : Kamaruddin Salleh UKM (Usuluddin)
Komentar buku : Prof Dato' Paduka Zakaria Stapa UKM (Usuluddin).
Moga kita semua mendapat ilmu baru mengenai makna asabiyyah menurut fikrah Islam.
Bukanlah semata2x cintakan bangsa/kaum/keluarga. Tetapi menolak kezaliman yang berlaku di atas nama asabiyyah. Asabiyyah tidak salah, tetapi tolong menolong di atas kezaliman itu yang salah. Yang haq itu tetap haq, yang batil itu tetap batil.
اللهم أرنا الحق حقاً وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه
O Allah! Let us see the truth as truth, and bless us with following it. And show us the falsehood as falsehood, and bless us with staying away from it.
Amin ya Rabbal 'alamin.
No comments:
Post a Comment