" Jika orang Islam berpolitik secara Islam, maka sudah tentu dunia politik yang disifatkan sebagai 'a dirty game' itu mampu dibersihkan. Bukankah Islam itu umpama air mutlak? Sifatnya yang bersih dan membersihkan. "
Wajah politik orang Islam menjadi semakin kotor dan busuk! Politik sekarang adalah Politik "Robocop" - berpolitik tanpa hati dan perasaan. Soal iman dan akhlak seolah-olah dilupakan. Persoalannya, bagaimana kita boleh mendapat pemimpin-pemimpin yang baik jika proses untuk mendapatkannya sudah dikotori dan dicemari? Realitinya rakyat semakin bimbang, bingung dan meluat melihat drama sepak-terajang ahli-ahli politik yang semakin meminggirkan adab dan akhlak.
Politik dalam Islam adalah urusan yang penting dan bersih. Urusan kepimpinan hakikatnya adalah amanah daripada Allah kepada setiap manusia. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : " Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap pengembala akan ditanya tentang gembalaannya." (Muttafaq alaih)
Sikap adil seorang Pemimpin lebih utama daripada ibadah seorang abid. Malah, pemimpin yang adil akan mendapat naungan arasy di akhirat kelak. Urusan kepimpinan menurut Islam adalah manhaj (jalan) untuk menegakkan ubudiyyah kepada Allah s.w.t melalui khidmat sesama manusia. Dari segi istilah politik bermaksud 'the arts and science of government' atau 'siasah' dalam bahasa Arab yang bermakna 'to lead', to guide, to conduct, to direct.
Pemimpin mewarisi tugas Rasulullah s.a.w untuk memimpin manusia dan menyelamatkan nasib mereka, bukan hanya di dunia bahkan di akhirat. Bukan sahaja untuk mendapat kesenangan fizikal dan material bahkan juga mendapat ketenangan dan kebahagiaan rohani. Inilah matlamat politik yang sebenarnya. Bila matlamat politik bersih, maka bersihlah kaedahnya.
Bagaimana berpolitik dengan cara yang bersih?
Jawapannya, ia mesti ditunjangi oleh aqidah yang mantap, dipantau oleh syariat dan dihiasi dengan akhlak. Tanpa pemantapan elemen-elemen dalam diri ahli-ahli politik, urusan kepimpinan pasti akan diseleweng. Lihat sahaja apa yang dipaparkan oleh media massa cetak atau elektronik. Ibu bapa yang benar-benar Islamik sudah berasa tidak selamat, malu dan bimbang apabila berita dan cerita negatif mula dipaparkan untuk tatapan umum.
Politik bukanlah gelanggang perebutan kuasa, politik wang, pertelagahan, pembelotan, kata-mengata, cerca-mencerca dan fitnah memfitnah. Malangnya wajah itulah yang semakin mendominasi dunia politik kini sehingga hampir-hampir diterima sebagai satu budaya. Walaupun dalam arus politik perdana, persaingan dan pertandingan itu boleh dilaksanakan secara sihat dan bersih. Apa yang penting adalah memberi penerangan dan penjelasan tentang matlamat atau apa yang hendak kita perjuangkan. Untuk kebaikan seluruh ummat itu yang penting, bukan terhadap komuniti, kaum, bangsa tertentu. Islam untuk semua. Rasulullah s.a.w pembawa rahmat ke sekelian alam. - [Solusi 31 m/s :3]
Kesimpulannya :
1. Politik dan agama tidak dapat dipisahkan.
2. Manusia yang menjadikan politik itu menjadi kotor dan buruk.
3. Orang yang tidak jujur dan tidak ber'politik' secara bersih dan adil itu
adakah layak menjadi pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab? Kepimpinannya akan dipersoalkan di akhirat kelak.
4. Ilmu agama Islam merangkumi semua aspek berkaitan dengan ekonomi, sosial, politik, dan pendidikan. Jangan ambil hanya bahagian tertentu sahaja. Islam untuk kehidupan.
5. Untuk menjadi rakyat yang celik dan intelek, kita perlu mengetahui matlamat dan objektif suatu kepimpinan itu, adakah meletakkan asas Quran dan Sunnah itu yang utama? Adakah Ataupun sekadar di mulut bicara, tetapi tidak ada pelaksanaan langsung terhadap objektif perjuangannya itu. Adakah seorang pemimpin itu mentaati perintah Allah dan RasulNya? Jika dia mentaati perintah Allah dan RasulNya, maka selayaknya dia ditaati jua selagi mana dia mentaati perintah Allah dan RasulNya. Tiada ketaatan bagi siapa yang tidak mentaati perintah Allah dan rasulNya. Berdasarkan Firman Allah s.w.t :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wallahua'lam.