Monday, 31 December 2012

Ilmu Faraidh kian dilupakan?


Adakah kita mempunyai ahli keluarga yang sudah pun meninggal dunia? Adakah kita tahu bagaimanakah pembahagian harta si mati kepada ahli keluarganya? Mungkin ada antara kita akan menjawab, "pembahagian dibuat sama rata saling meredhai satu sama lain." Adakah itu sudah memadai? Bagaimana pula dengan pembahagian yang telah disyariatkan oleh Allah SWT seperti mana mafhum firmannya,

" Bagi lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya dan bagi perempuan juga ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan."

(An-Nisa' :7)

Memang benar, pada pandangan masyarakat kita masih lagi belum terbuka tentang pembahagian harta secara Islam. Bukan salah mereka sebenarnya tetapi salah mereka yang mempelarinya dan tidak menyebarkan kepada masyarakat. Masyarakat masih lagi tidak didedahkan bagaimana Allah SWT telah memudahkan urusan mereka dalam pembahagian harta pusaka. Sebagai hamba, kita tidak mampu untuk membahagikan hak-hak warisan kepada ahli waris dengan seadilnya. Ini disebabkan keterbatasan kita untuk mengetahui rahsia sebanyak manakah keperluan masing-masing

Maka yang lebih berhak menentukan bahagian masing-masing sesuai dengan keperluan mereka ialah Yang Menciptakan kita iaitu Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mengetahui,. Contohnya bagi anak lelaki dan perempuan seperti mana yang telah disyariatkan masing-masing mendapat harta pusaka daripada ibu atau bapa dengan dinisbahkan lelaki mendapat 2 bahagian dan perempuan mendapat satu bahagian sahaja. Kenapa begitu? Itu rahsia hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Adapun hikmahnya banyak sekali, antaranya lelaki apabila mahu bernikah memerlukan wang sebagai mahar dan tidak dapat tidak hartanya akan berkurang. Namun sebaliknya bagi wanita, harta mereka akan bertambah apabila bernikah kerana mereka akan menerima mahar. Begitulah juga hak-hak waris yang lain, semuanya telah ditetapkan mengikut kedudukan masing-masing.

Memang tidak dinafikan tidak ramai dikalangan kita yang mahir di dalam ilmu ini. Banyak faktor yang menyebabkan kurangnya mereka yang pandai dalam imu mawarith. Antaranya kurangnya minat untuk mempelajarinya. Hal ini mungkin disebabkan ilmu ini menggabungkan antara ilmu fiqh dan ilmu hisab. Ya benar kita masih lagi lemah dalam matematik. Walaupun kita pernah mempelajarinya sejak dibangku sekolah lagi, namun sudah lama tidak mengamalkannya kecuali dalam bab jual beli kita menjadi lupa. Inilah salah satu punca kurangnya minat untuk mempelajari ilmu ini.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya

" Pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya ia adalah setengah dari ilmu dan ia akan dilupakan dan sesungguhnya ia adalah yang pertama kali yang akan dicabutkan dari umatku."

Bukan setakat itu sahaja, malah para orientalis juga mengakui ilmu ini walaupun mereka ini musuh yang ingin memusnahkan Islam. Sebagai contoh, seorang orientalis yang bernama Rumsey menyatakan," Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamadun." Sementara itu, seorang lagi orientalis, Professor N. J. Coulson yang pernah mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menyatakan, ”Undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam merupakan suatu pencapaian teknikal yang mantap dan sayugianyalah ilmuan Islam berasa bangga dalam ketepatan matematik dalam menentukan hak mana-mana waris, dalam keadaan apa sekalipun, boleh ditentukan.”

Tibalah masanya kita sebagai penuntut ilmu Allah SWT serta bakal menjadi para pendakwah kepada masyarakat menganjakkan paradigma dengan mempelajari ilmu ini dan menguasainya sebagaimana disarankan oleh Rasulullah SAW supaya kita dapat memelihara ilmu ini daripada kepupusan seperti mana ditakuti oleh Nabi Muhammad SAW

"….sesungguhnya aku sangat resah dan takut jika nantinya ada 2 orang bertikai tentang hal bahagian waris dan permasalahan lainnya akan tetapi mereka tidak mendapatkan orang yang meleraikan dan menyelesaikan masalah mereka."

Apa yang menarik berkenaan ilmu ini daripada ilmu feqh yang lain sehinggakan ilmuan bukan Islam tertarik dengannya ialah ia menggabungkan 2 bahagian ilmu iaitu ilmu feqh dan ilmu matenatik (dalam tajuk pecahan). Seseorang itu tidak akan dapat menyelesaikan sesuatu kes pembahagian harta pusaka sekiranya dia hanya mahir dalam salah satu bahagian ilmu sahaja. Tidak dapat tidak kedua-dua bahagian ilmu ini perlu dikuasai dengan baik untuk mahir dalam ilmu faraidh.

Ilmu feqh dalam ilmu faraidh ialah ilmu yang datangnya daripada Al-Quran , As Sunnah dan Ijma' para sahabat. Contoh daripada Al-Quran iaitu di dalam surah An Nisa' ayat 11 dan 12. Manakala dalam hadith Rasulullah pula contohnya ialah sabda baginda SAW,

" Berikanlah bahagian warisan yang telah ditentukan itu kepada pemiliknya. Adapun bakinya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya."

Berkenaan ijma' para sahabat pula bagi beberapa masalah yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran dan As Sunnah seperti masalah gharrawiyatain iaitu ahli waris hanya tinggal bapa, ibu dan salah satu suami isteri. Di dalam feqh faraidh juga menerangkan takrif faraidh, rukun-rukunnya, syarat-syaratnya, bahagian-bahagian untuk setiap ahli waris yang berhak mendapat warisan, mereka yang terhalang daripada mendapat warisan dan sebagainya.

Manakala ilmu matematik dipraktikkan ketika terhimpunnya ahli-ahli yang berhak terima harta pusaka setelah melalui proses-proses tertentu seperti proses tapisan iaitu siapakah yang terhalang samada terhalang daripada menerima warisan ataupun terhalang bahagiannya menjadi kurang kerana dipengaruhi oleh ahli waris yang lain. Setelah proses-proses ini selesai dengan setiap daripada mereka ada bahagian masing-masing sepertimana telah ditentukan di dalam Al-Quran maka ketika itu pengiraan dibuat dengan menggunakan pecahan matematik untuk mengetahui berapakah bahagian bagi tiap-tiap ahli waris. Kemudian bahagian-bahagian inilah akan dikalikan dengan harta peninggalan si mati.

Contoh pengiraan ini ialah jika sesorang meninggal dunia meninggalkan ayah, suami, seorang anak lelaki dan seorang saudara kandung lelaki. Proses pertama ialah kita menentukan siapakah yang berhak mendapat harta dan siapakah yang terhalang daripada mendapat harta. Dalam kes ini hanya saudara lelaki sahaja yang terhalang oleh bapa dan anak lelaki. Maka yang berhak mendapat warisan ialah ayah, suami dan anak lelaki. Proses seterusnya ialah kita lihat bahagian masing-masing iaitu ayah mendapat 1/6 kerana ada anak lelaki, suami pula mendapat 1/4 kerana ada anak lelaki dan anak lelaki mengambil baki daripada harta.

Akhir sekali barulah kita menentukan bahagian masing-masing menggunakan matematik. Di sini ada 2 pecahan iaitu 1/6 dan 1/4. Masalah di sini ialah kita tidak boleh tambahkan pembilang secara terus iaitu 1 + 1 kerana penyebutnya berlainan iaitu 6 dan 4. Jadi cara penyelesaiannya ialah mula-mula sekali kita cari gandaan sepunya terkecil (GSTK). Masih ingat lagi belajar dulu ketika sekolah? Jadi GSTKnya ialah 12 kerana kedua-duanya boleh dibahagi dengan 12 iaitu (.2 x 6 =12) dan (3 x 4 =12). Kemudian kita tentukan kedua-dua pembilang yang baru dengan cara kita darabkan pembilang masing-masing dengan angka.tadi (2 dan 3) iaitu 1 x 2 = 2 dan 1 x 3 = 3. Maka pembilang yang baru ialah 2 dan 3. Maka bahagian yang baru bagi ayah ialah 2/12 dan bahagian suami pula ialah 3/12. Oleh sebab kedua dua penyebut ini serupa, kita boleh terus tambahkan 2 pembilang 2 + 3 = 5. Oleh itu ayah dan suami mendapat 5/12 daripada harta manakala anak mendapat baki daripada 5/12 tadi iaitu 7/12 (12/12 – 5/12). Akhir sekali barulah kita tahu bahagian masing-masing setelah melakukan beberapa perhitungan iaitu ayah mendapat 2/12 daripada harta, suami pula mendapat 3/12 daripada harta dan akhir sekali 7/12 daripada harta buat anak lelaki. Begitulah contoh pengiraan dalam ilmu warisan.

Akhir kalam di sini mengharapkanu bagi ayah ialah 2.ah ialah 2.oleh dibahagi dengan 12. Kemudian kita darabkan pembilang masing-masing dengan a semoga artikel ini sedikit sebanyak mencambahkan minat kita untuk mempelajari ilmu ini dengan bersungguh-sungguih sehingga menjadi seorang yang 'alim dalam bidang mawarith seterusnya mengajarinya kepada masyarakat secara umum serta mengajari secara khusus kepada mereka yang menunjukkan minat untuk mempelajari ilmu ini agar ilmu ini terus kekal hingga kiamat tiba.

- Hilmi Haniz Muhammad-

Video penerangan mengenai Ilmu Faraidh : www.edaurah.blogspot.com
references : Ilmu faraidh

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...