Pages

Tuesday 13 April 2010

Apa itu zakat HarTa??




Pengertian zakat dari sudut bahasa ialah:
Keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu Taimiah berkata: Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.



Pengertian zakat dari sudut syarak ialah:‏

Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat.

Zakat Syar'ie kadang kala dinamakan sedekah di dalam bahasa al-Quran dan Hadis sebagaimana Firman Allah s.w.t: (خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ) yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. (Surah at-Taubah, Ayat: 103).

Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman: (Beritahulah kepada mereka bahawa Allah s.w.t mewajibkan mereka mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin di kalangan mereka). Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis.‏


Zakat Wang Tunai (Mata Wang)

1- Kekayaan wang yang wajib dikeluarkan zakat ialah kekayaan yang lebih dari keperluan asas manusia.

2- Nisab kekayaan wang tunai dan mata wang kertas adalah ditaksirkan dengan nisab emas iaitu bersamaan dengan 85 gram emas tulin dengan kiraan harga semasa di negeri orang yang mengeluarkan zakat ketika ianya diwajibkan.

3- Wang tunai dan mata wang kertas yang tidak cukup nisab hendaklah dicampurkan dengan kekayaan yang terdapat pada emas dan perak atau selain dari kedua harta tersebut sekiranya ada dan kesemuanya kekayaan tersebut hendaklah dikira dalam bentuk harga mengikut pendapat mazhab Hanafi. Oleh yang demikian kita hendaklah memasukkan atau menghimpunkan kesemua harta kekayaan yang ada kemudian ia dikira, sekiranya mencukupi nisab ia wajib dikeluarkan zakat.

4- Harta yang telah dikeluarkan zakat kemudian ia berubah menjadi bentuk yang lain seperti hasil pertanian, apabila ia dikeluarkan zakat kemudian hasil pertanian tersebut dijual, harga yang diperolehi hasil dari jualan tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat semasa mengeluarkan zakat harta lain yang telah cukup haulnya. Ini adalah kerana sekiranya dia mengeluarkan zakat bagi harta tersebut, ini bermakna dia mengeluarkan zakat secara berulang kali di dalam satu haul dan pada harta yang sama. Perbuatan seumpama ini adalah bertentangan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tiada pergandaan dalam sedekah (zakat). Walau bagaimanapun ia hendaklah dikeluarkan zakat pada haul yang berikutnya.

5- Mengenai hutang pula sama ada orang lain berhutang dengan kita atau kita berhutang dengan orang lain, ia hendaklah dimasukkan ke dalam bab hutang, iaitu dikira dan ditolak segala hutang terlebih dahulu kemudian barulah dikeluarkan zakat. ..........................

p/s-Oleh kerana ramai yg bertanya berkenaan zakat ,samada zakat fitrah dan zakat harta saya copy dan paste kan artikal berkenaan zakat fitrah dan khususnya zakat harta . Para pembaca yg bertanyakan soalan berkenaan perkara itu sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan zakat harta bolehlah melawat laman ini
http://zakat.al-islam.com/help/moneyhelp.asp?l=mal

1 comment:

SaEidah SyamIelah said...

sudahkah anda menunaikan zakat harta?
atau anda belum berkelayakan?
bagaimana dgn mereka yang sudah berkelayakan?....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...